Apabila Diri Malas
www.iluvislam.com
Oleh : safiyyah_hatim
Editor : almusafirq8
Alhamdulillah bersyukur kerana kita masih diberi kesempatan untuk bernafas di bumi Allah ini. Sebagai tanda kesyukuran, marilah kita sama-sama muhasabah di mana kita sekarang, apa yang sedang kita lakukan, adakah wajar segala tindak tanduk kita? Di sini saya ingin berkongsi tentang perasaan yang kadang kala hadir dalam diri kita iaitu...MALAS.
Jadi, untuk memulakan perkongsian, suka saya menyebut tentang ayat Allah yang menerangkan sifat orang munafik yang malas bersolat dalam Surah An-Nisa' (4:142):
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan salat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali."
Mungkin dalam keadaan kita sebagai seorang pelajar, konsep malas lebih kepada malas untuk mengulangkaji pelajaran, malas hendak buat tugasan, malas hendak mengemas rumah dan sebagainya. Hakikatnya malas itu PENYAKIT. Ya, penyakit yang boleh menjadi barah dan mungkin sampai tahap terminal.
Sebenarnya, kemampuan untuk berusaha adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita, seperti dalam post saya sebelum ini, kita berupaya untuk memilih dan berusaha. Kita menentukan hidup kita sendiri. Allah berfirman dalam Surah Ar-Ra'd (13:11):
"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia."
Berdasarkan ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa malas itu juga satu pilihan, sama ada kita hendak terus bermalas-malasan atau untuk menolak perasaan tersebut. Saya mengingatkan diri sendiri juga, kadangakala kita sangat-sangat bermotivasi dan pada masa yang lain jadi hiper malas. Itu ujian sahabatku, hakikatnya masa senang dan lapang juga adalah ujian. Allah menguji sejauh mana kita menggunakan masa itu sebaiknya.
Memetik kata-kata dari buku yang amat saya suka hasil tulisan pendakwah terkenal Indonesia iaitu Aa Gym bertajuk "Ingat Tuhan Sampai Mati":
"Apabila muncul rasa malas beribadah (umum atau khusus), pada masa itu hawa nafsu berupa malas sedang merasuk diri. Justeru segeralah melawan.Kerahlah sepenuh tenaga dan kudrat yang ada. Bangun, dan lawanlah!. Janganlah kita termasuk di kalangan golongan orang-orang munafik kerana kita malas beribadah".
Setelah kita mengetahui bahawa kita mempunyai pilihan untuk jadi rajin dan melawan nafsu malas, maka marilah kita sama-sama lihat bagaimana keluar dari belenggu perasaan negatif ini. Firman Allah dalam Surah As-Saffat (37:61):
"Untuk kemenangan serupa ini hendaklah berusaha orang-orang yang bekerja."
Ayat di atas menerangkan tentang kejayaan yang paling utama di akhirat iaitu memperoleh syurga hanya akan diberi kepada orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh di dunia. Sebelum dari ayat di atas, Allah menceritakan keadaan orang-orang yang beriman yang bersenang-senang di dalam syurga. Sambungan ayat ini juga Allah menerangkan seksaan bagi orang yang ditempatkan di dalam neraka. Sahabat-sahabatku, Allah menyuruh kita bekerja dan berusaha untuk mendapat kejayaan yang abadi di akhirat nanti.
Di sini saya ingin berkongsi tentang kuasa fikiran kita dalam menggerakkan tindakan kita. Hukum "Law of Attraction" telah diperkenalkan oleh beberapa penulis barat seperti Michael Josier dan Rhonda Byrne. Menurut mereka:
"Segala perkara yang kita fikirkan dengan seluruh perhatian, tenaga dan fikiran sama ada positif atau negatif, akan datang dalam kehidupan kita"
Apa yang dapat difahami dari hukum yang dicadangkan ini ialah: Kita menarik apa yang ada di sekeliling kita. Maksud tarikan di sini ialah kita menyumbang kepada berlakunya sesuatu perkara pada diri. Anda menguasai diri anda melalui pemikiran anda.
Dalam konteks perasaan malas, saya cadangakan supaya kita boleh memulakan beberapa langkah:
1) Fikirkan secara positif bahawa anda tidak malas dan hendak menjadi rajin.
2) Setiap kali selepas bangun dari tidur, yakinkan diri bahawa anda akan lakukan tugasan-tugasan.
(Contoh: basuh baju, siapkan tugasan...).Anda boleh membuat bayangan minda bahawa anda akan melakukan tugasan itu.
3) Sentiasa cabar diri.
Kadangkala saya gunakan pendekatan ini bila rasa nafsu malas sudah berada di tahap kritikal. Cuba cabar diri sendiri contoh: Kalau kau (nama sendiri) tak siapkan juga tugas ni, maksudnya memang la aku tidak tahu bersyukur, jadi sebagai denda, kurangkan masa 1 jam untuk tengok tv dan tambah sejam lagi untuk siapkan tugas). Ini hanya sebagai contoh, kadangkala manusia boleh jadi terkehadapan dengan cabaran dan tekanan pada diri.
4) Banyakkan muhasabah mengapa kita dibelenggu sifat malas.
Mungkinkah kita banyak melakukan dosa-dosa kecil atau besar hingga Allah tutup hati kita untuk membuat kebaikan? Adakah kita kurang merancang kehidupan hatta untuk sehari pun? Ingatlah setaip dosa menambah satu titik hitam dalam hati kita.
5) Mohon doa yang berpanjangan kepada Allah supaya dijauhkan sifat malas ini.
Seperti salah satu doa yang biasanya dibaca semasa membaca Al-Mathurat (himpunan doa-doa yang digalakkan untuk dibaca pada waktu pagi dan petang) iaitu maksudnya:
"Allahumma, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu dari kelemahan dan kemalasan; dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil; dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang"
Jadi, marilah kita sama-sama bergerak dan berubah, bangun dan terus kepada tugasan yang diamanahkan kepada kita. Sebelum terlambat dan sebelum sampai hari di mana kita akan dipertanggungjawabkan tentang nikmat masa, di mana kita gunakan. Ayuh! berubahlah,apabila diri malas,katakan..tidak, aku mahu berubah, ya, berubah kerana Allah, untuk mencapai redha-Nya, InsyaAllah.
Wallahua'alam.
0 comments:
Post a Comment